Atenisme (Jawi: اتينيسمى ), juga dikenali sebagai agama Aten,[1] agama Amarna,[2] dan ajaran sesat Amarna, merupakan satu agama di Mesir purba. Ia diasaskan oleh Akhenaten, seorang firaun yang memerintah Kerajaan Baru daripada Dinasti Kelapan Belas.[3] Ada yang memanggilnya agama monoteistik dan memuja hanya satu dewa ini, tetapi beberapa ahli kaji Mesir berpendapat bahawa ia sebenarnya henoteistik, percaya pada satu dewa tanpa menafikan kewujudan dewa-dewa lain.[4] Atenisme berfokus pada memuja Aten, dewa yang digambarkan sebagai cakera matahari. Aten pada asalnya sebahagian daripada Ra, dewa matahari tradisional Mesir, tetapi kemudiannya ditegaskan oleh Akhenaten sebagai yang tuhan tertinggi semua dewa.[5] Pada abad ke-14 SM, Atenisme menjadi agama Mesir selama kira-kira 20 tahun, dan Akhenaten membanteras pemujaan dewa-dewa lain; baginda menutup banyak kuil-kuil dewa lama, bina kuil Aten dan juga menindas tradisionalis agama. Walau bagaimanapun, firaun-firaun selepasnya menghentikan gerakan itu selepas Akhenaten mangkat, memulihkan agama politeistik tradisional tamadun Mesir. Usaha besar-besaran dibuat untuk menghapuskan Akhenaten dari semua catatan Mesir termasuk nama baginda, kuil-kuil Aten, dan pernyataan bahawa Atenlah dewa tertinggi.