Bahasa Ibrani Masnawi | |
---|---|
Ibrani: לשון חז"ל, rumi: Ləšon Ḥazal | |
Kawasan | Yudea, Palestin Rom |
Era | Berkembang daripada bahasa Ibrani Alkitab pada abad pertama Masihi; digunakan sebagai bahasa ilmiah dalam Ibrani Zaman Pertengahan pada abad ke-4 selepas mengalami kepupusan sebagai bahasa ibunda |
Bentuk awal | |
Abjad Ibrani | |
Kod bahasa | |
ISO 639-3 | – |
Glottolog | Tiada |
Bahasa Ibrani Hakim-Hakim (Ibrani: לשון חז"ל, rumi: Ləšon Ḥazal[a] "Lidah Para Hakim") ialah laras bahasa Ibrani yang digunakan para agamawan Yahudi mengarang kitab-kitab utama mereka iaitu Talmud dan terutamanya Masnah (yakni Bahasa Ibrani Masnawi). Laras ini boleh dibahagikan kepada peperingkat bahasa Ibrani Misynah (juga dipanggil Ibrani Tanna, Ibrani Rabai Awal, atau Ibrani Misynah I), yang merupakan bahasa pertuturan, dan Ibrani Amora (juga dipanggil Ibrani Rabai Akhir atau Ibrani Misynah Kedua), digunakan sebagai bahasa kepustakaan sahaja.
Bahasa Ibrani Misynah, atau bahasa Ibrani Rabai Awal, merupakan salah satu bahasa turunan langsung Ibrani Alkitabiah yang terpelihara selepas orang Yahudi menjadi tawanan Babylonia, dan dirakamkan oleh pendeta-pendeta Yahudi yang menulis Misynah dan kitab-kitab yang sezaman dengannya.
Bentuk peralihan bahasa ini dapat dilihat dalam karya-karya kepustakaan Tanna yang berasal dari zaman Misynah siap. Antaranya ialah midrasy halakh (seperti Sifra, Sifre, Mekhilta oleh Rabai Ismael dsb.) dan bahan-bahan yang berkaitan dengan Misynah yang dipanggil Tosefta. Talmud memetik karya-karya ini, serta bahan-bahan Tanna selanjutnya yang tidak dijumpai di tempat lain; petikan-petikan ini umumnya dipanggil baraita. Bahasa semua karya ini sangat mirip dengan bahasa Ibrani Misynah.
Kebanyakan bahasa Ibrani Misynah ditemui dalam sumber-sumber dari abad pertama hingga keempat, sepadan dengan zaman Rom selepas pemusnahan Bait Suci Kedua dalam Pengepungan Baitulmaqdis (70 TM). Ia berkembang dengan pengaruh bahasa Aram Pertengahan.[1] Juga dipanggil bahasa Ibrani Tanna atau Ibrani Rabai Awal, majoritinya terdiri daripada Misynah (משנה , diterbitkan sekitar tahun 200) dan Tosefta dalam Talmud, dan beberapa Naskhah Laut Mati, terutamanya Lembaran Tembaga dan Surat Bar Kokhba.
Ahli arkeologi Naskhah Laut Mati, Yigael Yadin, menyebut bahawa tiga dokumen Bar Kokhba yang beliau dan pasukan beliau temui di Gua Surat-surat ditulis dalam bahasa Ibrani Misynah[2] dan Simon bar Kokhba yang menghidupkan semula bahasa Ibrani dan menjadikannya bahasa rasmi negara semasa pemberontakan Bar Kokhba (tahun 132–135). Yadin juga mencatatkan tentang peralihan daripada bahasa Aram ke bahasa Ibrani di Yudea semasa pemberontakan Bar Kokhba:
Dokumen-dokumen yang lebih awal menariknya ditulis dalam bahasa Aram manakala yang lebih lewat dalam bahasa Ibrani. Perubahan ini mungkin dibuat dengan dekri khas Bar-Kokhba yang mahu memulihkan bahasa Ibrani sebagai bahasa rasmi negeri itu.[3]
Sigalit Ben-Zion berkata, "Perubahan ini nampaknya berlaku kerana perintah yang diberikan oleh Bar Kokhba, yang ingin menghidupkan semula bahasa Ibrani dan menjadikannya bahasa rasmi negeri."[4]
Walau bagaimanapun, tidak sampai satu abad selepas Misynah diterbitkan, bahasa Ibrani mula tidak digunakan sebagai bahasa pertuturan. Satu komponen Talmud yang dipanggil Gemara (גמרא , sekitar 500 TM di Mesopotamia Hilir), serta Talmud Baitulmuqaddis terdahulu yang diterbitkan antara tahun 350 dan 400, umumnya mengulas tentang Misynah dan Baraitot dalam bahasa Aram. Namun begitu, bahasa Ibrani tetap bertahan sebagai bahasa keagamaan dan pustaka dalam bentuk bahasa Ibrani Amora yang datang kemudian, yang kadangkala terdapat dalam teks Gemara.
Sudah ada persetujuan umum bahawa terdapat dua zaman utama bahasa Ibrani Rabai (IR). Yang pertamanya, yang bertahan sehingga akhir era Tanna (sekitar tahun 200), menggunakan (IR) sebagai bahasa pertuturan yang sedikit demi sedikit berkembang menjadi medium kepustakaan, yang dalam bahasanya Misynah, Tosefta, baraitot dan midrashim Tanna akan digubah. Peringkat kedua bermula dengan Amora, ketika mana IR digantikan dengan bahasa Aram sebagai bahasa pertuturan dan hanya hidup sebagai bahasa kepustakaan.[5]
Ralat petik: Tag <ref>
wujud untuk kumpulan bernama "lower-alpha", tetapi tiada tag <references group="lower-alpha"/>
yang berpadanan disertakan