Di United Kingdom, bangsawan berperwakilan ialah golongan bangsawan yang dipilih oleh anggota-anggota bangsawan Scotland dan bangsawan Ireland untuk menduduki Dewan Pertuanan British. Sehingga tahun 1999, semua anggota bangsawan Inggeris memegang hak untuk menduduki di Dewan Pertuanan; mereka tidak memilih kumpulan perwakilan yang terhad. Semua bangsawan yang diadakan selepas tahun 1707 sebagai bangsawan Great Britain dan selepas tahun 1801 sebagai bangsawan United Kingdom mempunyai hak yang sama untuk duduk di Dewan Pertuanan.
Bangsawan berperwakilan diperkenalkan pada tahun 1707, apabila kerajaan-kerajaan England dan Scotland disatukan menjadi Kerajaan Great Britain. Pada masa itu, terdapat 168 bangsawan Inggeris dan 154 bangsawan Scotland.[1] Golongan bangsawan Inggeris gusar bahawa Dewan Pertuanan akan dibanjiri oleh unsur Scotland, dan akibatnya pilihan raya bagi sebilangan kecil bangsawan berperwakilan untuk mewakili Scotland telah dirundingkan.[1] Pengaturan serupa telah diterima pakai apabila Kerajaan Great Britain dan Kerajaan Ireland bergabung menjadi United Kingdom Great Britain dan Ireland pada Januari 1801.
Scotland dibenarkan memilih enam belas bangsawan berperwakilan, manakala Ireland boleh memilih dua puluh lapan.[2] Mereka yang dipilih oleh Scotland akan duduk selama tempoh Parlimen itu bersidang, dan apabila pembubaran berlaku, bangsawan Scotland yang baharu akan dipilih. Sebaliknya, bangsawan berperwakilan Ireland akan duduk seumur hidup. Pilihan raya untuk bangsawan Ireland dihentikan apabila Negara Bebas Ireland wujud sebagai satu dominion pada Disember 1922. Walau bagaimanapun, bangsawan Ireland yang telah dipilih berhak untuk duduk sehingga mereka meninggal dunia. Pilihan raya untuk bangsawan Scotland berakhir pada tahun 1963, apabila semua bangsawan Scotland memperoleh hak untuk duduk di Dewan Pertuanan.
Di bawah Akta Dewan Pertuanan 1999, satu bentuk baharu bangsawan berperwakilan telah diperkenalkan untuk membolehkan beberapa bangsawan turun-temurun untuk duduk di Dewan Pertuanan.[3]