| |||
Maklumat am | |||
---|---|---|---|
Ditubuhkan | 31 Mac 1993 | ||
Bank pusat bagi | Malaysia | ||
Mata wang | Ringgit Malaysia MYR (ISO 4217) | ||
Tapak sesawang | bnm.gov.my | ||
Pentadbiran dan pengurusan | |||
Gabenor | Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour | ||
Jawatankuasa/majlis | |||
Lokasi | |||
Ibu pejabat | Kuala Lumpur, Malaysia | ||
Negara | Malaysia | ||
sunting · sunting di Wikidata |
Bank Negara Malaysia (BNM; bahasa Inggeris: Central Bank of Malaysia ) merupakan bank pusat di Malaysia. Ia merupakan badan berkanun yang mula beroperasi pada 26 Januari 1959 (sebagai bank pusat Central Bank of Malaya atau Bank Negara Tanah Melayu). Ibu pejabatnya terletak di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia tertakluk kepada Akta Bank Negara Malaysia 2009. Peranan Bank Negara Malaysia adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
Pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia adalah untuk mengekalkan kestabilan harga dan pada masa yang sama terus menyokong pertumbuhan. Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab terhadap kestabilan sistem kewangan. Matlamat ini dapat dicapai melalui pembangunan sektor kewangan yang kukuh, berdaya tahan, progresif dan pelbagai yang menyokong sektor ekonomi benar. Bank Negara Malaysia juga memainkan fungsi penting untuk melaksanakan inisiatif bagi memperdalam dan mengukuhkan pasaran kewangan, termasuk pasaran pertukaran asing.
Bank Negara Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur sistem kewangan bagi memajukan agenda rangkuman kewangan. Ini bagi memastikan semua sektor ekonomi dan segenap lapisan masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga menyelia infrastruktur sistem pembayaran negara yang memberikan penekanan terhadap aspek kecekapan dan keselamatan sistem kewangan.
Sebagai jurubank dan penasihat kepada Kerajaan Malaysia, Bank Negara Malaysia memberikan nasihat berkaitan dengan dasar makroekonomi dan pengurusan hutang negara. Bank Negara Malaysia juga merupakan pihak berkuasa tunggal yang mengeluarkan mata wang negara di samping menguruskan rizab antarabangsa negara.