Bekas wilayah Jerman di sebelah timur

Istilah bekas wilayah Jerman di sebelah timur (bahasa Jerman: Ehemalige deutsche Ostgebiete) merujuk kepada segala kawasan-kawasan di sebelah timur Sungai Oder dan Sungai Neisse Lusatia yang sehingga tahun 1945 diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa sebagai sebahagian daripada tanah wilayah Jerman, tetapi telah dipisahkan dari Jerman selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua. Sesetengah wilayah ini telah diduduki oleh kaum etnik Jerman sejak awal zaman pertengahan lagi, manakala ada sesetengah wilayah juga yang hanya diperolehi oleh Prusia (negeri yang memimpin pembentukan Empayar Jerman) pada akhir kurun ke-18. Kawasan-kawasan ini termasuklah Provinsi Posen, Wilayah Memel dan sebahagian dari Prusia Barat (hilang selepas Perang Dunia Pertama), serta Prusia Timur, dua-pertiga Pomerania, Brandenburg Timur, dan Silesia (hilang selepas Perang Dunia Kedua). Jumlah luas kawasan ini ialah kira-kira 156,148 km² — satu jumlah keluasan yang lebih besar dari Semenanjung Malaysia.

Ketika ini kawasan-kawasan yang tersebut merupakan sebahagian dari Poland, Rusia dan Lithuania. Kini sudah hampir tidak ada langsung orang Jerman yang menghuni kawasan ini walaupun tanah tersebut diakui sejak berkurun-kurun dahulunya sebagai tanah Jerman; kebanyakan mereka diusir selepas Perang Dunia Kedua atas desakan Kesatuan Soviet, malahan ramai yang dibunuh oleh Tentera Merah ataupun oleh pendatang baru bangsa Poland yang ingin membalas dendam terhadap kekejaman Nazi terhadap negara mereka dahulu.

(Nota: Rencana berikut membincangkan kawasan-kawasan di timur yang merupakan sebahagian dari Jerman setakat akhir tahun 1918, iaitu selepas Perang Dunia Pertama, serta kawasan-kawasan yang masih ada ketika era Republik Weimar, setakat akhir tahun 1937. Ia tidak merujuk kepada kawasan-kawasan yang ditakluk atau diduduki oleh Hitler selepas tahun 1937 dan diserap ke dalam Jerman (misalnya Austria, Czechoslovakia (Bohemia-Moravia) dan sebahagian Poland) kerana penaklukan tersebut tidak diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.)


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne