Bront Palarae บรอนต์ ปาลาเร่ | |
---|---|
![]() | |
Kelahiran | Nasrul Suhaimin bin Saifuddin 27 September 1978 |
Pekerjaan | Pelakon, pengarah, penulis, penerbit, pengacara |
Tahun aktif | 2001–kini |
Pasangan | Rozi Izma (k. 2013) |
Anak-anak | 1 |
Nasrul Suhaimin bin Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Bront Palarae (Bahasa Thai: บรอนต์ ปาลาเร่;[1] lahir 27 September 1978) ialah seorang pelakon, pengarah filem, penulis dan pengacara televisyen Malaysia.[2] Bront memulakan kerjaya lakonan menerusi peranan kecil dalam drama Mat Nor Kushairi & The Velveboys (2001) dan peranan pembantu dalam Dengan Nama Cinta (2003), kemudian mendapat peranan utama dalam Cinta Tsunami (2005). Beliau membuat penampilan sulungnya di layar lebar menerusi watak sampingan dalam filem Lang Buana (2003), serta telah membintangi beberapa filem terkenal yang menerima pengiktirafan kritis termasuk Castello dan Tipah Tertipu The Movie (kedua-duanya 2006), Anak Halal (2007), Kala Malam Bulan Mengambang (2008), V3 Samseng Jalanan dan Belukar (2010), Ombak Rindu (2011), Bunohan dan Jiwa Taiko (2012), PSIKO: Pencuri Hati (2013), Sejoli: Misi Cantas Cinta (2014) dan Terbaik dari Langit (2014), Ola Bola (2016), Kau Takdirku (2017) dan MALBATT: Misi Bakara (2023).
Bront Palarae memulakan kerjaya antarabangsanya pada tahun 2015 menerusi filem Jepun, Redemption Night, seterusnya muncul dalam filem Indonesia, Headshot (2016). Sebagai krew filem, beliau telah mengarahkan beberapa filem termasuk Kolumpo (2013) yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip dan penerbit. Bront telah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama di Festival Filem Malaysia ke-23 pada 2010 menerusi lakonan berkesannya sebagai penyiasat insurans dalam filem Belukar. Pada Jun 2018, Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang meraih pengiktirafan di peringkat global.[3] Beliau juga aktif mencipta nama sebagai pelakon di negara jiran, Indonesia.[4][5][6]