Bugis di Sabah

Kewujudan orang-orang Bugis Sengkang Wajo bersama-sama masyarakat Melayu lain di Tawau seperti orang orang Tidung, Suluk dan Bajau bersama pemimpin mereka sejak kolonial lagi. Mereka diminta oleh British Borneo mengusahakan tanaman kelapa di Tawau Lama. Menetap dan berkahwin dengan gadis tempatan seperti Suluk dan Tidung. Pada zaman moden, Bugis Sengkang Wajo di Sabah tidak lagi bertutur bahasa Bugis atau mengamalkan adat Bugis sebaliknya bertutur dan mengamalkan cara hidup Melayu tempatan. Hal itu berbeza dengan Bugis Asli Indonesia di Sabah yang masih kekal mengamalkan adat budaya dan berbahasa Bugis. Oleh itu, mereka telah menganggap diri mereka adalah orang Melayu tempatan.

Bugis di Sabah adalah merujuk kepada individu yang dilahirkan daripada keturunan Suku Bugis yang berasal daripada Sulawesi di sebelah bapanya serta berketurunan Bugis juga di sebelah ibunya yang tinggal di Sabah, Malaysia. Di Sabah, bangsa Bugis telah menjadi salah satu kumpulan masyarakat yang terbesar hingga kini. Ini adalah rangkuman daripada jumlah rakyat Indonesia berbangsa Bugis dan juga golongan bangsa Bugis yang telah menjadi sebahagian warganegara Malaysia di Sabah.

Bugis terawal di Sabah ( Bugis Sengkang Wajo) yang datang ketika zaman British dan sebelum Sabah merdeka telah menjadi penduduk di Negeri Sabah dengan berkahwin dgn wanita wanita tempatan seperti Suluk dan Tidung. Mereka tidak sama seperti imigran-imigran berbangsa Cina bersama keluarga mereka dari Tanah Besar China. Mengikut kondisi zaman moden, kesemua masyarakat Bugis Sengkang Wajo di Tawau kini telah pun bercampur keturunan mereka melalui perkahwinan dengan masyarakat kaum lain seperti Tidung dan Suluk (yang diiktiraf sebagai penduduk peribumi di Sabah) yang mana proses ini sudah berlaku lebih seratus tahun di Tawau.

Majoriti Bugis yang ada di Sabah ialah anak cucu mereka iaitu Bugis yang berhijrah dari daerah-daerah di kawasan Sulawesi (Bone, Enrekang, Pinrang, Rappang, Sinjai, dll.). Pada zaman moden, berdasarkan dari rekod bancian Jabatan Imigresen Malaysia, 70 % warganegara Indonesia di Sabah juga adalah daripada etnik Bugis.[1] Terdapat juga sedikit masyarakat Melayu Tawau yang mempunyai darah Bugis (telah bercampur darah dan keturunan dengan Melayu lain melalui perkahwinan).

Penghulu Puado, Daeng Mepata (Mustapa bin Supu) dan Pengeran Kuning adalah perantau Bugis Wajo asli dari Sengkang (Sulawesi Selatan) dan Kutai (Kalimantan Timur). Cucu-cicit mereka yang dikenali orang-orang Melayu ialah Dullah Salim Puado dan Ahmat Mepata. Banyak perkawinan campur di kalangan mereka misalnya Ahmat Mepata berkahwin dengan bangsa Tidung dan Ampong Kerahu (cucu Puado dan Mepata telah berkahwin dengan cucu Kee Abdullah ( Kee Safiah ) pada tahun 1935)[2]

Mengikut analisis semasa komuniti Bugis di Sabah boleh dibahagikan kepada 3 bahagian. Pembahagian kumpulan etnik Bugis adalah seperti berikut: Melayu Berdarah Bugis (10%), Bugis Bertaraf Wargenegara Malaysia (30%) , Bugis Asli Indonesia Bukan Bertaraf Warganegara (60%). Tafsirannya adalah "Melayu Bugis" (keturunan Bugis Sengkang Wajo) ialah masyarakat Melayu Tawau (campuran darah pelbagai keturunan Melayu melalui perkahwinan) yang mempunyai darah Bugis namun tidak mengamalkan budaya Bugis dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Bugis. Ini kerana kewujudan mereka di Sabah sudah terlalu lama (ketika penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun) dan keturunan mereka sudah bercampur melalui perkahwinan dengan keturunan Melayu yang lain seperti Bolongan, Banjar, Tidung dan Suluk Sabah.

Tafsiran "Bugis Asli Indonesia Bukan Warganegara" pula ialah golongan pekerja Indonesia yang berbangsa Bugis yang terdapat di negeri Sabah. Mereka ini bertaraf warganegara Indonesia dan bekerja secara sah di Sabah menggunakan pasport luar negara. Kaum bugis asli Indonesia ini masih kekal mengamalkan budaya dan bahasa Bugis.

Manakala tafsiran "Bugis Bertaraf Warganegara" pula ialah kumpulan pendatang Indonesia yang dilahirkan di Sulawesi Selatan dan datang ke Sabah (selepas tahun 1947) semata-mata untuk bekerja di ladang-ladang. Kemudian mereka melahirkan anak-anak di sini yang kemudiannya mendapat pendidikan di sekolah sekolah kerajaan dan juga universiti-universiti seluruh Sabah.[3]

Kebanyakan komuniti Bugis di Sabah tertumpu di daerah Tawau hingga ke kawasan daerah sekitarnya seperti Kunak dan Lahad Datu. Mengikut Sejarah Melayu, adalah dipercayai sebahagian kaum Bugis ini merantau daripada daerah kawasan Sulawesi menuju ke Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia, dan Kalimantan sejak abad ke-16. [4] Masa kini terdapat puluhan ribu rakyat Indonesia yang berbangsa Bugis berada di Tawau dan menyumbang tenaga mereka yang diperlukan untuk kemajuan Negeri Sabah.

  1. ^ Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005.[pautan mati kekal]
  2. ^ Kajian Asal Usul dan Adat Resam Bugis di Sulawesi
  3. ^ Rujuk : Ken Gotlet, Tawau The Making of a Tropical Community, Opus Publication, 2010.
  4. ^ Suku Kaum Bugis.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne