Cerut atau cerutu (daripada Tamil: சுருட்டு, rumi: curuttu "gulungan" melalui Portugis: charuto[1] terbitan kata சுருள் curuḷ "menggulung"[2]) ialah gulungan daun tembakau yang ditapai, dikeringkan dan diikat untuk tujuan merokok; gulungan sebegini terdapat dalam pelbagai jenis bentuk dan saiz. Cerut yang dihasilkan sejak abad ke-20 terdiri daripada tiga komponen yang utama iaitu isi tembakaunya ("pengisi", filler), daun pengikat, dan daun pembalut yang biasanya tercetak dengan logo syarikat yang mengeluarkannya.
Tradisi menghisap cerut ini mula-mula wujud dalam kalangan masyarakat asli Carribean, dan amalan tersebut diperkenalkan kepada tamadun-tamadun Eropah setelah ditemui tiga anak kapal dalam pelayaran Christopher Columbus semasa beliau singgah di pulau Hispaniola pada tahun 1492.[3]