Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo
Ronaldo bersama Al Nassr pada tahun 2023
Maklumat peribadi
Nama penuh Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro
Tarikh lahir (1985-02-05) 5 Februari 1985 (umur 40)
Tempat lahir Funchal, Madeira, Portugal
Ketinggian 1.87 m (6 ka 2 in)[1]
Posisi permainan Penyerang
Maklumat kelab
Kelab terkini
Al Nassr FC
Nombor 7
Kerjaya remaja
1992–1995 Andorinha
1995–1997 Nacional
1997–2002 Sporting CP
Kerjaya Senior*
Tahun Pasukan Kmcln (Gol)
2002–2003 Sporting CP B 2 (0)
2002–2003 Sporting CP 25 (3)
2003–2009 Manchester United 196 (84)
2009–2018 Real Madrid 292 (311)
2018–2021 Juventus 98 (81)
2021–2022 Manchester United 40 (19)
2023– Al Nassr 56 (55)
Pasukan kebangsaan
2001 Portugal B15 9 (7)
2001–2002 Portugal B17 7 (5)
2003 Portugal B20 5 (1)
2002–2003 Portugal B21 10 (3)
2004 Portugal B23 3 (2)
2003– Portugal 206 (128)

Tandatangan
Cristiano Ronaldo signature
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik dan tepat pada 27 Mei 2024
‡ Gol dan kemunculan pasukan kebangsaan hingga 26 Mac 2024

Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro (lahir 5 Februari 1985) merupakan seorang pemain bola sepak profesional dari Portugal yang bermain di posisi penyerang untuk kelab bola sepak Al-Nassr yang berpangkalan di Arab Saudi dan bermain untuk pasukan kebangsaan Portugal.

Selalu disebut-sebut sebagai pemain terbaik sepanjang zaman[nota 1], Ronaldo telah dianugerahkan FIFA Ballon d'Or sebanyak lima kali[2], pemain terbanyak yang memenangi anugerah ini dan juga pemain pertama dalam sejarah bola sepak yang memenangi anugerah Kasut Emas Eropah sebanyak empat kali[3]. Sepanjang kariernya, beliau telah memenangi 33 buah trofi kejuaraan utama, termasuklah tujuh kejuaraan liga domestik, lima kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA, satu untuk trofi kejuaraan Piala Eropah UEFA dan satu trofi untuk kejohanan Liga Negara-Negara UEFA. Sebagai penjaring gol yang produktif, Ronaldo menyimpan rekod untuk gol terbanyak yang dijaringkan di Liga Juara-Juara UEFA (140) dan membantu (42) dalam sejarah Liga Juara-Juara UEFA.[4] Selain itu, Ronaldo turut mencatatkan hatrik terbanyak dalam sejarah bola sepak sebanyak (66), hatrik paling banyak dalam Liga Juara-Juara UEFA (8) dan jaringan gol paling banyak dicatatkan di peringkat antarabangsa (128). Beliau juga merupakan salah satu daripada beberapa pemain yang dicatatkan membuat lebih dari 1,000 penampilan kerjaya profesional dan telah menjaringkan lebih dari 700 gol kerjaya senior untuk kelab dan negara.[5]

Dilahirkan dan dibesarkan di Santo António, Madeira, Ronaldo pada usia mudanya didiagnosa dengan penyakit takikardia semasa berumur 15 tahun. Beliau kemudian dirawat dengan prosedur pembedahan dijalankan, dan memulakan karier seniornya dengan menyertai kelab Sporting CP, sebelum menyertai kelab Manchester United semasa beliau berusia 18 tahun pada tahun 2003[6]. Selepas memenangi trofi pertamanya iaitu Piala FA pada musim pertama di England, beliau membantu pasukan United memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut, satu kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA dan sebuah trofi Piala Kelab Dunia FIFA. Semasa berumur 22 tahun, beliau telah dicalonkan untuk anugerah Ballon d'Or dan Pemain Terbaik Dunia FIFA dan memenangi kedua-dua anugerah ini pada umur 23 tahun. Pada tahun 2009, Ronaldo menandatangi kontrak bersama kelab Real Madrid di Sepanyol dengan rekod perpindahan termahal dunia pada ketika itu dengan harga sekitar €80 juta[7].

Di Sepanyol pula, Ronaldo memenangi dua kejuaraan La Liga, dua buah trofi Piala Raja Sepanyol, dua buah Piala Super Sepanyol, empat buah trofi Liga Juara-Juara UEFA, dua buah trofi Piala Super UEFA dan tiga buah trofi Piala Kelab Dunia FIFA. Selepas menyertai Real Madrid, Ronaldo mendapat tempat kedua untuk anugerah Ballon d'Or di belakang Lionel Messi sebanyak tiga kali, sebelum memenanginya dua kali berturut-turut pada tahun 2013 dan 2014. Pada tahun 2014, Ronaldo dinobatkan sebagai pemain terpantas dalam sejarah bola sepak Sepanyol apabila beliau berjaya mencapai 200 gol dalam La Liga hanya dalam 178 perlawanan[8]. Pada tahun 2015 pula, beliau merupakan penjaring gol terbanyak kelab[9]. Pada tahun 2017, Ronaldo memenangi anugerah Ballon d'Or buat kali kelima selepas mendapat undian terbanyak.[10]

Sebagai pemain untuk pasukan kebangsaan, Ronaldo telah dinamakan sebagai pemain Portugal terbaik sepanjang zaman oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal pada tahun 2015[11]. Ronaldo memulakan debut antarabangsa pada bulan Ogos 2013, semasa berusia 18 tahun[12]. Beliau merupakan pemain Portugal dengan penampilan terbanyak dengan lebih dari 130, dan menyertai tujuh buah kejohanan utama. Gol pertama Ronaldo untuk pasukan kebangsaan dijaringkan semasa kejohanan UEFA Euro 2004, membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir[13]. Beliau mengambil peranan sebagai kapten pasukan bermula pada bulan Julai 2008, dan memimpin pasukan Portugal memenangi kejohanan pertama di peringkat antarabangsa dengan merangkul kejuaraan UEFA Euro 2016 dan menerima anugerah Kasut Perak sebagai penjaring gol kedua terbanyak dalam kejohanan tersebut.

Ronaldo merupakan salah seorang daripada atlet paling berpengaruh, disenaraikan sebagai atlet dengan bayaran tertinggi di dunia oleh Forbes pada tahun 2016 dan 2017,[14][15] serta atlet paling terkenal di dunia oleh ESPN pada tahun 2016 dan 2017.[16] Sehingga April 2020, Ronaldo juga merupakan pengguna yang paling banyak diikuti oleh pengguna di aplikasi Instagram dan Facebook.[17] Dengan pendapatan €720 juta (£615 juta) dari tahun 2010 hingga 2019, beliau menduduki tempat kedua dalam senarai atlet bergaji tertinggi oleh Forbes pada dekad ini.

  1. ^ "Cristiano Ronaldo (CR7)". realmadrid.com. Juventus. Dicapai pada 22 Mac 2014.
  2. ^ "Cristiano Ronaldo raih Anugerah Ballon d'Or buat kali keempat". Astro Arena. 13 Disember 2016. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  3. ^ "Lionel Messi wins fourth Golden Shoe, ties record with Cristiano Ronaldo". The Indian Express. 29 Mei 2017. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  4. ^ "Players-Most Assits". Uefa.com.
  5. ^ Adam Smith (16 Oktober 2019). "Cristiano Ronaldo scores 700th goal of his career during Portugal's defeat to Ukraine". Sky Sports. Dicapai pada 2020-05-20.
  6. ^ "Teenager takes Beckham No7 shirt". The Guardian. 13 Ogos 2003. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  7. ^ "Ronaldo completes £80m Real move". BBC Sport. 1 Julai 2009. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  8. ^ "Ronaldo scores 200th Liga goal with record breaking hat-trick". Goal.com. 6 Disember 2014. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  9. ^ "CRISTIANO RONALDO ALL-TIME TOP GOALSCORER". Real Madrid. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  10. ^ "Ronaldo beats Messi to win fifth Ballon d'Or". ESPN.com (dalam bahasa Inggeris). 2017-12-07. Dicapai pada 2025-02-10.
  11. ^ "Ronaldo named best Portuguese player of all time". Goal.com. 15 Januari 2015. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  12. ^ "Cristiano Ronaldo's 100-cap Portugal career: in pictures". The Telegraph. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  13. ^ "Cristiano Ronaldo scored his 70th goal for Portugal in win over Hungary to go fourth on all-time European list… but he is yet to net against England, Spain, France, Germany or Italy". Daily Mail. 26 Mac 2017. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  14. ^ "The Top 25 Highest-Paid Athletes Of 2016, Visualized". Forbes. 20 Jun 2016. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  15. ^ "Full List: The World's Highest-Paid Athletes 2017". Forbes. 15 Jun 2017. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  16. ^ "ESPN World Fame 100 - Top Ranking Athletes". ESPN. 30 Mei 2017. Dicapai pada 10 Julai 2017.
  17. ^ Clement, J. (13 Januari 2019). "Instagram accounts with the most followers worldwide as of January 2020 (in millions)". Statista. Dicapai pada 2020-05-20.


Ralat petik: Tag <ref> wujud untuk kumpulan bernama "nota", tetapi tiada tag <references group="nota"/> yang berpadanan disertakan


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne