Faks atau nama penuhnya faksimili (daripada bahasa Latin fac simile, "menjadikan serupa", iaitu "membuat salinan") ialah teknologi telekomunikasi yang digunakan untuk memindahkan salinan (faksimili) dokumen, khususnya menggunakan peranti-peranti (mesin faks) yang disambungkan dengan rangkaian telefon. Mesin faks juga dikenali sebagai telecopier di industri-industri tertentu. Kelebihan faks berbanding perkhidmatan pos nampak dalam pengiriman dokumen melalui jarak jauh dengan serta-merta, sementara kelemahannya dari segi mutu salinan yang telah menyebabkan mesin faks diketepikan oleh e-mel sebagai kaedah pemindahan dokumen elektronik yang terpenting, kecuali apabila status sah faks kiriman serta laporan kirimannya diperlukan.