Filem bisu (juga: wayang gambar bisu[1][2]) atau filem senyap (bahasa Inggeris: silent film ) ialah filem (wayang gambar) yang dirakam tanpa iringan bunyi mahupun lontaran dialog yakni "bisu". Dalam filem-filem jenis ini, lakonan pelakon disampaikan melalui gerakan isyarat, pantomim dan kad tajuk. Idea menggabungkan wayang gambar dengan rakaman bunyi adalah seusia perfileman itu sendiri, tetapi dengan cabaran teknikal, iringan dialog hanya dapat dizahirkan pada akhir 1920-an setelah tiub penguat audion sempurna dicipta serta pengenalan sistem Vitaphone. Selepas The Jazz Singer muncul dengan teknologi rakaman iringan dialog dan bunyi yang sungguh berkesan pada tahun 1927, filem bersuara semakin laris dikehendaki sehingga menyebabkan pupusnya filem jenis ini dalam masa sepuluh tahun kemudian.