Gajah perang adalah gajah yang dilatih dan digunakan untuk berperang pada zaman dahulu tidak sahaja untuk kenderaan dalam perang serta serangan menyerbu, bahkan mematahkan barisan dan menginjak-injak musuh. Gajah jantan dipilih sepenuhnya untuk tujuan ini kerana ia lebih pantas dan bersifat garang atau agresif.[1] Gajah perang ini dilatih khas agar tidak mudah gentar dengan bunyi bising hiruk-pikuk semasa peperangan, kerana gajah perang yang berada di luar kawal amat merbahaya kepada pihak lawan atau pasukan sendiri.
Penggunaan gajah dalam perang pertama kali dilakukan di India, ketika gajah disediakan sebagai salah satu sayap dari empat sayap dalam militer India, pengetahuan strategi ini kemudian menyebar ke Asia Tenggara dan ke barat di daerah Mediterania. Pada masa Peradaban Hellenis, gajah digunakan oleh Diadokhoi untuk menangkis serangan kavaleri. Di barat, penggunaan gajah untuk perang yang paling terkenal adalah oleh Jenderal Pirros. Gajah perang dalam jumlah besar juga digunakan oleh pasukan Kartago, terutama di bawah kepemimpinan Hannibal.
Seiring perkembangan zaman, taktik perang yang semakin moden ikut menurunkan daya serangan gajah selain dengan berkurangnya taburan gajah yang semakin sulit didapati. Penggunaan gajah dalam perang di India juga berakhir ketika meriam dipergunakan, gajah pun hanya digunakan sebagai tenaga pembantu.