Gladiator (Bahasa Latin: gladiatōrēs, "ahli pedang" atau "orang yang menggunakan pedang", dari perkataan gladius "pedang") adalah pahlawan profesional pada masa Rom Purba yang saling bertarung sesama mereka, binatang buas dan penjahat-penjahat yang dihukum untuk tujuan menghibur khalayak ramai yang menonton; pertarungan ini kadang-kala berakhir dengan kematian.
Pertarungan ini bertempat di arena yang terdapat di banyak kota ketika zaman Republik Rom dan Empayar Rom. Acara-acara ini dilangsungkan selama berabad-abad hampir satu alaf sebelum ia berkurangan setelah Agama Kristian dijadikan anutan rasmi Empayar semasa zaman Maharaja Theodosius I pada 380 Masihi.