21 Februari diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa oleh UNESCO pada 17 November 1999. Sambutannya juga diiktiraf secara rasmi oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui resolusi yang menjadikan tahun 2008 sebagai Tahun Bahasa Antarabangsa.[1]
Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa berasal dari pengiktirafan antarabangsa kepada Hari Pergerakan Bahasa yang disambut di Bangladesh (dahulunya Pakistan Timur) semenjak tahun 1952, apabila sebilangan penuntut universiti Bangladesh dibunuh oleh polis dan tentera Pakistan di Dhaka ketika menyertai Gerakan Bahasa Bengali.
Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa disambut setiap tahun oleh negara ahli UNESCO di ibu pejabatnya untuk memupuk kepelbagaian bahasa dan budaya dan keanekabahasaan.