Empayar Het Name: URUHa-at-ti ("Tanah Hatti") | |
---|---|
s. 1600 SM–s. 1180 SM | |
![]() Cakera matahari Het, simbol kerabat diraja. | |
![]() Empayar Het pada zaman kemuncaknya di bawah Mursili II (sekitar 1321 – 1295 SM). | |
Ibu negara | Hattusa dan bagi satu tempoh singkat, Tarhuntasya |
Bahasa yang umum digunakan | Het, Luwia, Palai, Hurria, Asyur dan bahasa-bahasa Anatolia lain. |
Agama | Politeisme, dewa-dewa Anatolia. |
Demonim | Orang Het |
Kerajaan | Autokrasi |
Lugal | |
• s. 1586–1556 SM | Hattusili I |
• 1556–1526 SM | Mursili I |
• awal kurun ke-14 SM | Tudhaliya I |
• sekitar 1350–1322 | Suppiluliuma I |
• sekitar 1321–1295 | Mursili II |
• sekitar 1295–1272 | Muwattalli II |
Era Sejarah | Zaman Gangsa Akhir |
• Labarna I menakluk Hatti | s. 1600 SM |
• Serangan oleh bangsa laut dan kerajaan sekitar membawa penamat kepada Hatti | s. 1180 SM |
Empayar Het atau empayar Nesya ialah orang Anatolia purba yang pernah mengasaskan sebuah kerajaan yang berpusat di Hattusa (bahasa Het: URUḪattuša, "Hattusa") di tengah utara Anatolia sekitar 1600 SM. Empayar Het pada zaman kemuncaknya pada kurun ke-14 SM di bawah naungan Suppiluliuma I, merangkumi sebahagian besar Anatolia, barat laut Syria, sejauh muara Sungai Litani (sebuah wilayah dikenali sebagai Amqu), dan ke arah timur sehingga ke hulu Mesopotamia.
Antara abad ke-15 dan ke-13 SM, empayar negeri Hattusa, juga dipanggil Kerajaan Het, berkonflik dengan Kerajaan Baru Mesir, Asyur Pertengahan dan empayar Mitanni kerana mahu mengawal Asia Barat Jauh. Kerajaan Asyur akhirnya menjadi lebih kuat dan mengilhak banyak tanah Empayar Het, manakala yang selebihnya dijarah oleh pendatang dari Frigia. Selepas sekitar tahun 1180 SM, semasa kejatuhan Zaman Gangsa, kerajaan Het berpecah kepada beberapa negeri kota "Het Baharu" yang berdaulat. Beberapa antaranya wujud sehingga lewat abad ke-8 SM sebelum jatuh ke tangan Kerajaan Asyur Baharu.
Bahasa Het berasal daripada cabang bahasa Anatolia dalam rumpun bahasa Indo-Eropah, bersama-sama bahasa Luwi, dan merupakan bahasa Indo-Eropah tertua yang diketahui setakat kini.[1] Ia digelar oleh bangsa Het sendiri sebagai 'nešili' "perihal [berbahasa] Nesya (kini dipanggil Kültepe)". Bangsa Het memanggil nama negeri mereka sebagai Kerajaan Hattusa (Hatti dalam bahasa Akkadia), daripada orang Hatti, sebuah bangsa yang pernah duduk di rantau mereka sehinggalah awal alaf ke-2 dan bercakap bahasa lain bernama bahasa Hatti.[2] Nama "Hittite" datang daripada ahli arkeologi abad ke-19 yang mengaitkan bangsa yang ditemui mereka dengan yang disebut dalam Alkitab.
Kebanyakan sejarah ketamadunan Het yang diketahui datang daripada teks-teks tulisan pepaku yang ditemui di kawasan kerajaan mereka, juga daripada surat-surat diplomatik dan komersial dalam arkib-arkib kerajaan Asyur, Babilonia, Mesir, dan Asia Barat. Teks-teks tersebut juga penting dalam bidang sejarah linguistik Indo-Eropah. Angkatan tentera Het juga ada menggunakan rata.[3]
Perkembangan dalam bidang peleburan besi dikatakan datang daripada kerajaan Het di Anatolia sewaktu Zaman Gangsa Akhir, disebabkan mereka memang mahir dan telah memonopoli pertukangan besi. Namun pandangan "Het memonopoli" disangsikan dan tidak lagi diterima dalam kalangan pakar.[4] Berkaitan Zaman Gangsa Akhir/Zaman Besi Awal, kejatuhan Zaman Gangsa menyaksikan penggunaan besi secara meleluasa di rantau mereka. Barangan besi memang ada di Anatolia sewaktu Zaman Gangsa, tetapi jumlahnya di semua tempat adalah sama dan tidak banyak; besi tidak lazim digunakan sebagai senjata.[5] Bangsa Het tidak menggunakan proses peleburan besi, sebaliknya mereka menggunakan meteorit.[6]
Pada zaman klasik, dinasti etnik Het terdapat di kerajaan-kerajaan kecil dan tersebar di tanah Syria, Lubnan dan Israel. Setelah hubungan berkurangan dengan kerajaan Het, keturunan mereka terselerak dan akhirnya bergabung dengan penduduk-penduduk Syam, Turki, dan Mesopotamia.[7]
Pada tahun 1923, minat terhadap Het berkembang dengan pengasasan Republik Turki dan menarik perhatian ahli arkeologi seperti Halet Çambel dan Tahsin Özgüç. Pada zaman ini, bidang kajian baharu iaitu Hititologi (kaji bangsa Het, Hetologi) juga mempengaruh penamaan institusi-institusi Turki, seperti bank milik kerajaan Etibank ("bank Het"),[8] dan yayasan Muzium Ketamadunan Anatolia (Anadolu Medeniyetleri Müzesi) di Ankara, 200 kilometer barat dari ibu negeri Het yang menempatkan pameran artifak dan citra Het yang terbesar di dunia.