Ikan Pertengahan | |
---|---|
Jerung bala, sejenis ikan bertulang | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Haiwan |
Filum: | Chordata |
Klad: | Olfactores |
Subfilum: | Vertebrata |
Kumpulan yang termasuk | |
Dari segi kladistik termasuk tetapi dari segi tradisional taksa dikecualikan | |
Ikan (Jawi: ايكن ) ialah sejenis haiwan vertebrata akuatik yang tidak beramnion dengan luaran yang mempunyai insang, sirip untuk renang, serta tengkorak keras, tetapi tidak mempunyai anggota badan dengan jejari. Ikan boleh dikelompokkan kepada ikan tanpa rahang yang lebih bawah kedudukannya secara filogenetik, serta ikan berahang yang lebih biasa ditemui. Ikan berahang merangkumi kesemua spesies yang masih wujud pada masa ini seperti ikan berawan dan ikan bertulang, serta spesies yang telah pupus seperti plakoderma dan akantodia. Kebanyakan ikan berdarah sejuk dengan suhu badan yang berubah mengikut suhu air di sekelilingnya, walaupun terdapat beberapa jenis spesies yang merupakan perenang aktif besar seperti jerung putih dan tuna boleh mengekal suhu teras yang lebih tinggi. Banyak ikan boleh berkomunikasi secara akustik antara satu sama lain, seperti sewaktu peragaan untuk tujuan mengawan.
Ikan terawal muncul semasa tempoh Kambria sebagai pemakan turas kecil. Makhluk ini terus berkembang sepanjang era Paleozoik, dan bercambah melalui pempelbagaian bentuk tubuh badan. Ikan terawal ialah ostrakoderma yang mempunyai insang pernafasan khusus dan pasangan sirip, mempunyai perisai tulang berat yang berfungsi sebagai rangka luar yang melindungi dirinya daripada pemangsa invertebrata. Ikan pertama dengan rahang yang dikenali sebagai plakoderma muncul pada tempoh Silures dan mengalami proses pempelbagaian spesies semasa tempoh Devon yang juga dikenali sebagai "Zaman Ikan".
Ikan bertulang, dibezakan dengan kehadiran pundi renang dan kemudiannya rangka dalam bertulang, muncul sebagai kumpulan ikan yang dominan selepas kepupusan akhir tempoh Devon yang menghapuskan pemangsa puncak plakoderma. Ikan bertulang terbahagi lagi kepada ikan bersirip cuping dan ikan bersirip ruji. Kira-kira 96% daripada semua spesies ikan hidup hari ini ialah haiwan teleos yang merupakan kumpulan mahkota ikan bersirip ruji yang boleh menggerakkan sendi rahang mereka. Tetrapod yang merupakan sejenis klad vertebrata yang kebanyakannya hidup di daratan, telah mendominasi paras trofik teratas dalam ekosistem akuatik dan daratan sejak akhir era Paleozoik, berevolusi daripada ikan bersirip cuping semasa tempoh Karbon, mengembang peparu nafas udara yang berhomolog dengan pundi kencing berenang. Tetrapod biasanya tidak dianggap sebagai sejenis ikan, menjadikan "ikan" yang diketahui pada masa kini sebagai kumpulan parafili, walaupun garis keturunan kladistik menyatakan sebaliknya.
Ikan merupakan sumber alam yang penting bagi manusia di seluruh dunia, terutamanya peranannya sebagai makanan. Nelayan komersial dan nelayan sara diri sama ada memburu ikan di kawasan perikanan liar, atau menternak ikan di dalam kolam atau sangkar lautan (melibatkan bidang akuakultur). Ikan juga ditangkap untuk tujuan rekreasi, dipelihara sebagai haiwan peliharaan, dibesar oleh pembela ikan, dan dipamerkan di akuarium awam. Ikan mempunyai peranan dalam kebudayaan sepanjang zaman, dari dijadikan sebagai dewa atau simbol agama, sehingga ke dijadikan sebagai subjek dalam seni, buku dan filem.