Iklim khatulistiwa, juga dikenali sebagai iklim hutan hujan tropika, ialah sejenis iklim yang tidak mengalami musim kering, iaitu kesemua 12 bulan dalam setahun mencatat nilai kerpasan min sekurang-kurangnya 60 mm (2.36 inci). Iklim khatulistiwa tiada musim panas dan sejuk yang ketara, sebaliknya bercuaca panas dan lembap sepanjang tahun dengan hujan lebat yang turun pada waktu petang hampir setiap hari. Panjang waktu siangnya hampir sama setiap hari, meskipun jurang perbezaan suhu purata antara siang dan malam jauh lebih ketara berbanding perbezaan suhu purata antara "musim panas" dan "musim sejuk".
Iklim khatulistiwa biasanya ditemui di garis lintang antara lima darjah di Utara dan Selatan dari khatulistiwa yang didominasi oleh Zon Pertemuan Antartropika. Namun demikian, di tempat lain wujudnya juga mikroiklim tropika, apatah lagi bukan semua tempat di sepanjang rantau khatulistiwa beriklim khatulistiwa (lihat juga zon kering khatulistiwa).
Ciri-ciri iklim:
Iklim khatulistiwa dilambangkan oleh Af mengikut sistem pengelasan iklim Köppen. Hutan hujan tropika merupakan tumbuh-tumbuhan semula jadi di rantau khatulistiwa.