Jam (Jawi: جم ) ialah suatu alat yang digunakan untuk menunjukkan waktu. Jam merupakan salah satu ciptaan manusia terawal, yang memenuhi keperluan mengukur selang waktu yang lebih singkat daripada hari, iaitu saat, minit dan jam, manakala takwim (kalendar) digunakan untuk menghitung hari, bulan dan tahun.
Jam-jam terawal ialah jam yang berfungsi berdasarkan perubahan alamiah seperti jam matahari. Jam mekanikal moden mula wujud pada sekitar 1300 di Eropah.[1] Jam elektrik pertama kalinya dipaten pada 1840. Perkembangan elektronik pada abad ke-20 membawa kepada penciptaan jam-jam tanpa sebarang peralatan bergerak.