ETS adalah singkatan untuk Electric Train Service, merupakan perkhidmatan tren laju antara bandar di antara Padang Besar, Butterworth, Kuala Lumpur dan Gemas yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010. Terdapat 36 stesen yang berkhidmat sepanjang laluan ini iaitu dua di Perlis, empat di Kedah, empat di Pulau Pinang, 14 di Perak, lima di Selangor, empat di Kuala Lumpur, dua di Melaka dan dua di Negeri Sembilan.
Kelajuan operasi maksimum armada ETS adalah 140 km/jam, walaupun tren ETS direka untuk mencapai kelajuan 160 km/jam. Setiap tren boleh mengangkut maksimum 350 orang penumpang, dan terdiri daripada enam gerabak yang mencapai jumlah panjang 138 m dan berat 231.8 ton. Setiap gerabak 22.95 m panjang, 2.75 m lebar dan 4 m tinggi.