Kapitan Cina (Jawi: كاڤيتن چينا) atau Kapten Cina (juga dieja Kapitan China atau Capitan China - Cina: 華人甲必丹; Belanda: Kapitein der Chinezen) pada asalnya merupakan gelaran Portugis untuk wakil penempatan Cina[1][2] meminjam kata Portugis: capitão . Pada abad ke-15, para pemerintah Asia Tenggara (seperti di Melaka dan Banten) memilih untuk berurusan dengan seorang individu daripada setiap kelompok etnik yang tinggal dalam wilayah masing-masing.[3][4]
Kaedah pemerintahan secara tak langsung ini turut diwarisi oleh penjajah Portugis yang menakluki Melaka pada abad ke-16 , diikuti oleh kuasa Belanda di Hindia Timur Belanda, dan Inggeris di Malaya British.[3] Selepas berakhirnya zaman penjajahan, maka gelaran Kapitan sekadar kehormat.[3]