Kokerspaniel

Seekor kokerspaniel Inggeris jingga kemerah-merahan dengan ekor terpotong dalam sebuah pertunjukan pengakuran

Kokerspaniel atau cocker spaniel[a] ialah anjing yang tergolong dalam dua baka jenis anjing spaniel: kokerspaniel Amerika dan kokerspaniel Inggeris, yang kedua-duanya lazimnya hanya dipanggil cocker spaniel di negara asal masing-masing. Pada awal abad ke-20, kokerspaniel juga termasuk spaniel pemburu kecil.

Kokerspaniel pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing pemburu di United Kingdom, dengan istilah "koker-" atau "cocker" yang diterbitkan daripada penggunaannya untuk memburu woodcock Eurasia. Apabila baka ini dibawa ke Amerika Syarikat, ia dibiakbakakan mengikut piawaian berbeza, yang membolehkannya mengkhusus dalam pemburuan woodcock Amerika. Perubahan fizikal lanjut dibiakbakakan ke dalam baka kokerspaniel di Amerika Syarikat semasa bahagian awal abad ke-20.

Spaniel pertama kali disebut pada abad ke-14 oleh Gaston III, Count Foix dalam karya beliau Livre de Chasse ("Buku Perburuan"). "Cocking spaniel" atau "cocker spaniel" ialah sejenis spaniel padang atau spaniel darat pada abad ke-19. Sebelum tahun 1901, kokerspaniel hanya terpisah daripada spaniel padang dan springerspaniel mengikut berat. Dua ekor anjing dianggap sebagai induk asasi bagi kedua-dua baka moden, keragaman Inggeris diturunkan daripada Ch. Obo, sementara baka Amerika diturunkan daripada anak jantan kepada Obo, iaitu Ch. Obo II. Di Amerika Syarikat, kokerspaniel Inggeris diiktiraf sebagai baka terpisah daripada baka tempatan pada tahun 1946; di United Kingdom, jenis Amerika diiktiraf sebagai baka terpisah pada tahun 1970. Sebagai tambahan, strain kedua bagi kokerspaniel Inggeris, iaitu strain pekerja, tidak dibiakbakakan mengikut piawaian, tetapi mengikut keupayaan kerja. Kedua-dua baka mengongsi warna lapis bulu dan isu kesihatan serupa dengan segelintir pengecualian.
Ralat petik: Tag <ref> wujud untuk kumpulan bernama "lower-alpha", tetapi tiada tag <references group="lower-alpha"/> yang berpadanan disertakan


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne