Ku Klux Klan

Ahli-ahli Ku Klux Klan yang kedua di perhimpunan pada tahun 1922.

Ku Klux Klan [klu klaks klaen] ialah nama untuk pertubuhan-pertubuhan persaudaraan Amerika Syarikat, baik yang kini mahupun yang dahulu, yang menyokong ketuanan kulit putih, kebencian terhadap orang berlainan kaum dengan mereka antisemitik atau secara umum, anti-Katolikisme serta juga keperibumian. Ku Klux Klan juga dikenali secara mudah dengan nama "Klan" atau dengan parapnya, "KKK". Pertubuhan-pertubuhan ini sering menggalakkan penggunaan terorisme, keganasan dan ugutan seperti pembakaran salib untuk menindas orang-orang Amerika Afrika dan orang-orang yang lain. Penjelmaan semula Klan buat pertama kali terjadi pada tahun 1866. Diasaskan oleh bekas perajurit negeri-negeri Gabungan Amerika, tujuan utamanya ialah untuk menentangi Pembinaan semula dan menumpukan usaha mereka untuk mengugut "petualang" (bahasa Inggeris: carpetbaggers, iaitu orang Amerika Syarikat di utara yang berpindah ke Selatan semasa Pembinaan Semula) dan "skalawag" (iaitu orang putih Selatan yang menyertai parti Republikan di Selatan semasa Pembinaan Semula) serta untuk menghancurkan abdi-abdi yang telah dibebaskan. Dengan pantasnya, pertubuhan-pertubuhan mempergunakan cara-cara yang ganas. Reaksi yang pantas datang daripada kerajaan pusat, dengan pucuk pimpinan Klan menafikan kejadian-kejadian tersebut. Golongan elit di Selatan memperlihatkan pertubuhan Klan hanya sebagai alat yang dipergunakan oleh askar-askar persekutan untuk meneruskan kegiatan-kegiatan mereka di Selatan. Pertubuhan itu merosot dari tahun 1868 hingga 1870 dan dimusnahkan pada awal 1870-an oleh tindakan-tindakan Presiden Ulysses S. Grant di bawah Akta Hak Awam 1871 (juga dikenali sebagai Akta Ku Klux Klan).

William Joseph Simmons mengasaskan Ku Klux Klan yang kedua pada tahun 1915.

Pengasasan kumpulan kedua pada tahun 1915 yang menggunakan nama yang sama diilhami oleh kuasa baru yang diberikan oleh media massa moden melalui filem The Birth of a Nation serta laporan akhbar yang anti-Yahudi dan yang mengapi-apikan perbicaraan Leo Frank atas tuduhan pembunuhan — Frank kemudian dibunuh oleh KKK. KKK yang kedua merupakan pertubuhan keahlian formal yang mempunyai struktur negara dan negeri yang tertentu, dan yang menggajikan beribu-ribu orang untuk menubuhkan dan menguruskan cawangan-cawangan tempatan di seluruh negara. Berjuta-juta orang menyertai KKK yang kedua ini, dan pada kemuncaknya dalam dekad 1920-an, pertubuhan ini memperoleh lebih kurang 15% daripada bilangan penduduk negara yang berlayak. [1] KKK yang kedua ini biasanya menganjurkan faham anti-Yahudi, rasisme, anti-Katolikisme, dan keperibumian. Sebilangan kumpulan tempatan mengambil bahagian dalam penggantungan tanpa perbicaraan dan kegiatan-kegiatan ganas yang lain. Kepopularan KKK yang kedua merosot semasa Zaman Meleset, dan keahliannya turun lagi semasa Perang Dunia II, disebabkan oleh skandal-skandal yang berkaitan dengan jenayah-jenayah dan penyokongan Jerman Nazi oleh ahli-ahlinya yang utama.

Sejak masa itu, nama "Ku Klux Klan" telah dipergunakan oleh banyak kumpulan yang tidak berkaitan, termasuk mereka yang menentangi Akta Hak Awam dan penghapusan pengasingan kaum pada dekad 1960-an. Kini, terdapat berdozen-dozen pertubuhan dengan cawangan-cawangan di seluruh Amerika Syarikat dan negara-negara lain yang menggunakan kesemua atau sebahagian nama "Ku Klux Klan", tetapi jumlah ahli mereka dianggarkan hanya di lingkungan beberapa ribu orang. Kumpulan-kumpulan ini, dengan operasinya di unit-unit tempatan yang kecil dan berasingan, dianggap sebagai kumpulan benci yang berketerlaluan. KKK moden telah ditolak oleh semua media utama dan pemimpin-pemimpin politik dan agama.

  1. ^ Menurut banci 1920, bilangan lelaki orang putih yang berumur 18 tahun ke atas ialah di lingkungan 31 juta, tetapi banyak daripada lelaki itu tidak berlayak untuk keahlian kerana mereka merupakan pendatang, orang Yahudi, atau beragama Roman Katolik. Keahlian klan mencapai puncaknya pada kira-kira 4-5 juta ahli: http://www.aaregistry.com/african_american_history/2207/The_Ku_Klux_Klan_a_brief__biography Diarkibkan 2007-04-03 di Wayback Machine, dicapai pada 25 Ogos, 2005.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne