Letupan Avalon, diberi nama berdasarkan fosil-fosil jejakan fauna Prakambria yang ditemui pada Semenanjung Avalon di Newfoundland, timur Kanada, merupakan sejenis sinaran evolusi haiwan prasejarah yang dicadang berlaku kira-kira 575 juta tahun dahulu (jtd) sewaktu tempoh Ediakara. Letupan evolusi haiwan tersebut merupakan salah satu daripada tiga era yang dikumpulkan dalam tempoh masa ini.[3] Peristiwa evolusi ini dipercayai berlaku kira-kira 33 juta tahun lebih awal berbanding letupan Kambria, yang lama dianggap sebagai permulaan kehidupan kompleks di muka Bumi ini.
Ahli-ahli sains masih kurang pasti sejauh mana jangkauan perkembangan letupan Avalon,[3] yang mengakibatkan peningkatan pesat dari segi biodiversiti metazoa, termasuk kemunculan pertama beberapa infraalam/superfilum metazoa yang masih wujud seperti knidaria dan bilateria. Kebanyakan haiwan yang wujud sejak letupan Avalon merupakan organisma bertubuh lembut serta tidak bergerak yang hidup dalam persekitaran lautan dalam,[4] dan beberapa peringkat terawal letupan Avalon diperhatikan melalui kewujudan beberapa spesies yang agak minimum bilangannya.[3]