Louis VII dari Perancis

Louis VII
Rupa Louis VII pada meterainya
Raja orang Frank (lagi...)
Pemerintahan1 Ogos 1137 – 18 September 1180
Kemahkotaan25 Oktober 1131, Reims
25 Disember 1137, Bourges
Didahului olehLouis VI
Diikuti olehPhilip II
Keputeraan1120
Kemangkatan18 September 1180 (umur 59–60)
Paris
PemakamanBiara Barbeau, kemudian (1817) Basilika Saint-Denis
Pasangan
Anakanda
Butiran
KerabatCapet
AyahandaLouis VI dari Perancis
BondaAdelaide dari Maurienne

Louis VII (1120 – 18 September 1180), digelar yang Lebih Muda atau yang Muda (Perancis: le Jeune) untuk membezakannya daripada bapanya Louis VI, ialah raja Perancis dari 1137 hingga 1180. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Duchess Eleanor dari Aquitaine, salah seorang wanita terkaya dan paling berkuasa di Eropah barat. Perkahwinan tersebut memperluaskan jajahan Capet ke Pyrene.

Louis ialah anak lelaki kedua Louis VI dari Perancis dan Adelaide dari Maurienne, dan pada mulanya hendak berkhidmat kepada Gereja. Selepas kematian abangnya, Philip, pada tahun 1131, Louis menjadi pewaris takhta Perancis dan dinobatkan sebagai pemerintah bersama bapanya. Pada tahun 1137, dia berkahwin dengan Eleanor dari Aquitaine dan tidak lama selepas itu menjadi raja tunggal selepas kemangkatan bapanya. Semasa berarak dalam Perang Salib Kedua pada tahun 1147, Louis tinggal di istana Raja Géza II dari Hungary dalam perjalanan ke Baitulmuqaddis. Semasa tinggal di Tanah Suci, perselisihan faham dengan Eleanor menggugat perkahwinan mereka. Eleanor memujuknya untuk tinggal di Antioch tetapi Louis sebaliknya mahu menunaikan nazar ziarahnya ke Baitulmuqaddis. Dia kemudiannya terlibat dalam pengepungan Damsyik yang gagal dan akhirnya kembali ke Perancis pada tahun 1149. Pemerintahan Louis menyaksikan penubuhan Universiti Paris. Dia dan kaunselornya, Abas Suger, ingin menjadikan kerajaan lebih berkuasa dan menyokong pembinaan seni bina Goth Perancis, terutamanya pembinaan Notre-Dame de Paris.

Perkahwinan Louis dengan Eleanor dibatalkan pada 1152 selepas mereka mendapat dua anak perempuan tetapi tiada waris lelaki. Sejurus selepas pembatalan tersebut, Eleanor berkahwin dengan Henry, Duke dari Normandy dan Count dari Anjou, yang kepadanya Eleanor memberikan Aquitaine. Selepas Henry naik sebagai Raja Henry II dari England, jajahan-jajahan ini membentuk Empayar Angevin. Kemudian, Louis menyokong anak-anak Henry dan Eleanor dalam pemberontakan mereka terhadap bapa mereka untuk memecahbelahkan lagi alam Angevin. Perkahwinan keduanya dengan Constance dari Castile juga membuahkan dua anak perempuan tetapi isteri ketiganya, Adela dari Champagne, melahirkan seorang anak lelaki, Philip Augustus. Louis mangkat pada tahun 1180 dan digantikan oleh anaknya, Philip II.


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne