Kesan manik Baily adalah satu ciri gerhana matahari penuh. Ketika Bulan melalui di hadapan Matahari sewaktu gerhana matahari penuh, topografi sembir Bulan yang berceranggah membolehkan "manik-manik" cahaya matahari melepasi di sesetengah tempat, dan tidak di tempat lain. Fenomena ini dinamakan sempena Francis Baily, orang pertama yang memberikan penerangan yang tepat berkenaan kejadian ini pada tahun 1836.[1][2] Kesan cincin permata boleh dilihat apabila hanya satu "manik" ini yang tinggal; permata yang bersinar yang terletak dalam cincin yang terang di sekeliling bayangan Bulan.[3]
Bulan mempunyai bentuk muka bumi yang pelbagai kerana kewujudan banyak gunung, kawah, lembah dan ciri-ciri topografi yang lain. Ketaksekataan sembir Bulan ("sisi" Bulan yang dilihat dari jauh) diketahui dengan tepat daripada pemerhatian-pemerhatian hijab gesel bintang-bintang. Oleh itu, ahli astronomi memahami dengan agak baik gunung-gunung dan lembah-lembah Bulan yang mana akan menyebabkan kemunculan manik-manik ini sebelum kejadian gerhana. Manik-manik Baily hanya muncul selama beberapa saat di tengah kawasan laluan gerhana, tetapi jangka masanya tertinggi di pinggir laluan umbra, iaitu sekitar 1-2 minit.
Manik Baily dan kesan cincin permata tidak selamat dilihat secara terus tanpa memakai perlindungan mata yang sesuai kerana dalam kedua-dua keadaan, fotosfera Matahari masih boleh dilihat.
|coauthors=
ignored (|author=
suggested) (bantuan)