Muktazilah (bahasa Arab: المعتزلة al-mu`tazilah) adalah aliran teologi Islam rasional yang berkembang di Basrah dan Baghdad. Dalam sejarah, golongan yang dikenali sebagai Muktazilah pertama kali muncul pada permulaan sejarah Islam dalam perselisihan mengenai kepimpinan Ali bin Abi Talib dalam masyarakat Islam selepas terbunuhnya Uthman bin Affan, khalifah ketiga Khulafa al-Rasyidin, pada tahun 656 M. Golongan yang tidak menyokong mahupun mengutuk Ali, Aisyah atau Muawiyah dalam Fitnah Pertama, tetapi mengambil kedudukan politik neutral dikenali sebagai Mu'tazilah.[1][2]
Manakala secara teologinya Muktazilah mula diasaskan oleh seorang tabi'in bernama Wasil ibn Ata (wafat: 131 H) dan Amr ibn Ubayd (wafat: 144 H). Ini bermula dengan tindakan Wasil bin Atha' yang memisahkan diri (i'tazala) dengan gurunya Hasan al-Basri kerana perbezaan pendapat. Oleh itu, pengikut Wasil bin Ata dikenali sebagai Mu'tazilah (kalimat jamak daripada i'tazala). Selain itu golongan ini juga disebut sebagai Ahl al-Tawḥīd wa al-ʿAdl (اهل التوحيد و العدل) "ahli tauhid dan keadilan". Kerana penekanannya kepada tauhid dan keadilan Allah yang terkandung dalam lima prinsip asas Muktazilah (al-ushul al-khamsah).[3][4][5]
Muktazilah terkenal dengan mengembangkan bentuk rasionalisme Islam. Mereka terkenal dengan mengutamakan peranan akal dalam penafsiran nash agama (Al-Quran dan Hadis). Hal ini menyebabkan pemikiran Muktazilah selalunya diserang oleh ulama Sunni dari kalangan Asya'irah, Maturidi dan Zahiri kerana kaedah dan pandangan Muktazilah cenderung berfalsafah dan rasional terutama dalam perbincangan berkaitan penciptaan al-Quran, masalah takdir, dan sifat-sifat Allah. Sebaliknya, Muktazilah menentang bentuk rasionalisme sekular tetapi percaya bahawa kecerdasan dan akal manusia membolehkan seseorang memahami dan mematuhi prinsip moral agama, dan percaya bahawa baik dan buruk adalah kategori yang boleh ditentukan melalui akal fikiran.[6][7]
|journal=
(bantuan)CS1 maint: numeric names: authors list (link)