Nama peribadi atau nama penuh ialah set nama yang dikenali untuk seseorang dan dapat dibaca sebagai kumpulan perkataan, dengan pemahaman bahawa, secara keseluruhannya, ia berkaitan dengan seseorang individu itu. Dalam banyak budaya, istilah ini sinonim dengan nama kelahiran atau nama sah individu. Kajian akademik mengenai nama peribadi disebut antroponimi.
Konvensyen penamaan yang digunakan dalam masyarakat Melayu secara amnya, dan juga dalam budaya Arab dan di kawasan lain yang berlainan di Afrika dan Asia, adalah menghubungkan nama orang diberi dengan rantaian nama, bermula dengan nama bapa orang itu dan kemudian ayah kepada bapa dan seterusnya, biasanya diakhiri dengan nama keluarga (nama suku atau klan). Di Malaysia, Brunei dan Singapura terutamanya, nama peribadi atau nama penuh yang direkodkan secara rasmi dalam dokumen pengenalan ialah nama diberi berbin/binti nama bapa sahaja. Nama bagi perempuan pula tidak berubah setelah berkahwin, dan mengikuti konvensyen penamaan yang dinyatakan di atas. [1]
Dalam budaya Barat, hampir semua individu memiliki sekurang-kurangnya satu nama diberi (juga dikenal sebagai nama depan, nama pertama, atau nama Kristian), bersama dengan nama keluarga (juga dikenal sebagai nama belakang)—contohnya, Abraham dan Lincoln dalam Abraham Lincoln—yang kemudiannya kitu untuk menunjukkan bahawa individu itu tergolong dalam keluarga, suku, atau klan. Apabila terdapat dua atau lebih nama yang diberikan, biasanya hanya satu (dalam budaya berbahasa Inggeris biasanya yang pertama) digunakan dalam pertuturan biasa.