Nombor jisim (A; Jawi: نومبور جيسيم ), juga dikenali dengan nama nombor jisim atom dan nombor nukleon, ialah jumlah proton dan neutron (dikenali secara jamak sebagai nukleon) di dalam nukleus atom. Kerana proton dan neutron kedua-duanya adalah baryon, nombor jisim A adalah sama dengan nombor baryon B nukleus keseluruhan atom atau ion. Nombor jisim adalah berbeza bagi setiap isotop sesuatu unsur kimia. Ia tidak seperti nombor atom (Z) yang menyatakan jumlah proton di dalam nukleus dan dapat mengenalpasti unsur-unsur berbeza. Oleh itu, perbezaan antara nombor jisim dan nombor atom bersamaan dengan jumlah neutron di dalam satu nukleus; yakni N=A-Z. [1]
Nombor jisim biasanya ditulis selepas nama unsur atau sebagai superskrip di sebelah kiri simbol unsur. Sebagai contoh, isotop karbon yang paling biasa ialah karbon-12 atau 12
C; ia mengandungi 6 proton dan 6 neutron. Simbol isotop penuh akan menyatakan sekali nombor atom (Z) sebagai subskrip di sebelah kiri simbol unsur di bawah nombor jisim, seperti berikut: 12
6C.[2] Secara teknikal, pernyataan seperti berikut adalah berlebihan kerana setiap unsur ditakrifkan melalui nombor atomnya, jadi ia kerap tidak ditulis.