Pemacu kilat USB

Pemacu kilat USB

Pemacu kilat USB ialah peranti storan ingatan kilat yang disepadukan dengan antaramuka USB. Pemacu kilat USB lazimnya bersaiz kecil, ringan, boleh ditulis semula dan boleh dibawa ke mana sahaja. Kapasiti simpanan biasanya dalam lingkungan 64 MB sehingga 128 GB[1] dengan penambahbaikan yang berterusan dalam nisbah saiz dan harga bagi setiap gigabait. Sesetengah pemacu kilat membenarkan kitar tulis-padam sehingga lebih sejuta kali[2][3] serta mempunyai jaminan pengekalan data selama 10 tahun,[4] disambung menggunakan penyambung USB 1.1 atau USB 2.0.

Pemacu kilat USB menawarkan banyak kelebihan berbanding peranti storan mudah alih lain, terutamanya cakera liut. Ia lebih kecil, lebih pantas, boleh menyimpan lebih banyak data serta lebih boleh diharap (kerana tiada bahagian bergerak serta reka bentuk yang lebih tahan lama) daripada cakera liut. Pemacu kilat USB menggunakan piawaian alat storan massa USB yang disokong oleh sistem pengendalian moden seperti Windows, Mac OS X dan Linux.

Sebuah pemacu kilat terdiri daripada papan litar bercetak kecil di dalam bekas plastik, menjadikannya kecil dan mudah disimpan di dalam poket. Penyambung USB pula ditutup dengan penutup plastik yang boleh ditanggalkan untuk melindunginya daripada kemungkinan kerosakan akibat elektrik statik. Hampir kesemua pemacu kilat menggunakan penyambung piawai USB jenis A agar pemacu-pemacu ini boleh disambung terus ke komputer. Pemacu kilat USB memperoleh bekalan kuasanya melalui port USB sendiri.

Istilah pemacu digunakan kerana komputer membaca dan menulis data pada pemacu kilat dengan menggunakan perintah sistem yang sama seperti cakera keras mekanikal biasa, dengan peranti storan dipaparkan pada sistem pengendalian dan antaramuka grafik pengguna komputer sekadar seperti pemacu keras yang lain.[3]

  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-03. Dicapai pada 2009-04-10.
  2. ^ "Imation Swivel Pro Flash Drive", About.com, 2008, webpage: AboutCom-Swivel-Pro-Flash.
  3. ^ a b Pemacu kilat USB membenarkan operasi tulis, baca dan memadam data, dengan sesetengah daripadanya membenarkan sehingga sejuta kali kitar tulis/padam pada setiap sel ingatan: jika digunakan 100 kali sehari, sejuta kitaran tersebut menyamai penggunaan selama 10,000 hari ataupun lebih 27 tahun. Sesetengah peranti menyekatakan penggunaan melalui aktiviti pemindahan automatik ke bahagian ingatan yang kurang digunakan.
  4. ^ "USB flash drive weighs 32 g", Trade Media Ltd, June 2006, webpage: GSources-flash-6102.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne