Pencemaran bunyi (atau bunyi persekitaran) merupakan penghasilan bunyi yang kuat dan bising daripada mesin, haiwan atau manusia yang mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan lain.
Kebanyakan sumber pencemaran ini berlaku di luar rumah seperti sistem pengangkutan, termasuk bunyi kenderaan, bunyi kapal terbang, dan bunyi kereta api.[1][2] Perancangan bandar yang tidak tersusun telah menimbulkan pencemaran bunyi kerana bangunan kilang dan kawasan perumahan yang bersebelahan boleh menyebabkan pencemaran bunyi dalam kawasan perumahan.
Punca yang lain bagi pencemaran bunyi di dalam dan di luar rumah adalah penggera kereta, siren perkhidmatan kecemasan, perkakasan pejabat, mesin pengilangan, kerja pembinaan, peralatan penyenggaraan laman, salakan anjing, alatan elektrik, perkakasan bermotor, dengungan lampu, sistem hiburan audio, pembesar suara, dan suara yang bising.