Perpustakaan ([pĕr.pus.ta.ka.an]) atau kutubkhanah ([ku.tub.kha.nah]) serta pusat sumber ialah sebuah bangunan yang menyimpan pelbagai koleksi sumber maklumat dan menyediakan perkhidmatan, diuruskan untuk digunakan, dan diuruskan oleh perbadanan awam (pemerintahan), institusi mahupun persendirian. Jika dahulu perpustakaan digunakan untuk menyimpan pelbagai koleksi bahan bercetak seperti buku dan majalah, tetapi disebabkan kepesatan dunia maklumat, perpustakaan kini dijadikan gudang yang menghimpunkan juga pelbagai sumber yang bersifat bahan bercetak, elektronik, mahupun bahan bukan cetakan. Malah, kebanyakan perpustakaan hari ini juga menyediakan perkhidmatan internet untuk kegunaan umum. Perpustakaan terbesar adalah Perpustakaan Kongres.[1]
Istilah perpustakaan terbitan kata dasar pustaka ڤوستاک (ejaan lama ڤستاک) bermaksud "buku" atau "kitab"[2] serapan bahasa Sanskrit पुस्तक pustaka;[3] penungkapan ini menyuaigunakan kelaziman menyimpan banyak salinan karya babad istana dan sesurat Jawa lain diatur kerabat-kerabat diraja besar yang memerintah dalam pulau tersebut.[4]