Planetarium Melaka | |
---|---|
ڤلانيتاريوم ملاک | |
![]() Bahagian hadapan planetarium pada tahun 2015 | |
Maklumat umum | |
Status | Tidak beroperasi |
Jenis | Planetarium |
Lokasi | Kompleks MITC, Hang Tuah Jaya |
Bandar/pekan | Ayer Keroh |
Negara | Malaysia |
Koordinat | 2°16′N 102°17′E ![]() |
Pembinaan bermula | 2009 ![]() |
Dirasmikan pada | 10 Ogos 2009 ![]() |
Pembiayaan | RM20 juta |
Pengurusan | Planetarium Melaka Sdn Bhd |
Butiran teknikal | |
Bilangan tingkat | 3 |
Keluasan tingkat | 0.7 hektar (1.7 ekar) |
sunting · sunting di Wikidata![]() |
Planetarium Melaka (nama rasmi: Melaka Planetarium Adventure Science Centre) ialah sebuah bangunan planetarium yang terletak di dalam kawasan perdagangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 10 Ogos 2009 dan ia merupakan planetarium kedua dibuka di Melaka selepas Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Masjid Tanah[1].
Bangunan ini menampilkan seni bina Islam serta mencatatkan sejarah tersendiri apabila Planetarium Melaka merupakan satu-satunya bangunan yang dibina di atas bulatan jalan raya[2], di mana ia terletak di atas Bulatan MITC dengan keluasan tanah sebanyak 0.7 hektar. Kos pembinaan bangunan ini dianggarkan sebanyak RM20 juta[3] dan terdiri daripada tiga tingkat serta memiliki kubah bersaiz 15 meter[2]. Di dalamnya, terdapat pameran sains yang dibahagikan kepada empat seksyen iaitu astronomi, angkasa lepas, simulasi dan fizik[2].
Pada bulan November 2018, hujan lebat yang berlaku telah mengakibatkan struktur kubah runtuh dan merobohkan sebahagian daripada bumbung dan siling serta merosakkan bahan pameran di bahagian belakang[4]. Pada tahun 2019, Planetarium Melaka disahkan sebagai tidak selamat untuk digunakan selepas laporan forensik dikeluarkan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mendapati beberapa struktur sokongan pada bangunan tidak kukuh dan berbahaya untuk orang awam dan pekerja bangunan[3].
Kerajaan Melaka kemudian merancang untuk melakukan naik taraf ke atas bangunan Planetarium Melaka ini sebagai Pusat Setempat Pelancongan Melaka pada tahun 2020[5][6]. Namun begitu, setakat tahun 2023, projek naik taraf ini dikategorikan sebagai "projek terbengkalai"[7] dan Planetarium Melaka kekal tidak beroperasi.