Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
Portal Malaysia |
Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi.
Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir serta Perang Kelang ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.
Pada 1896, Residen Frank Swettenham bertanggungjawab menyatukan Selangor dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan ibu negeri Selangor, Kuala Lumpur sebagai pusatnya. Negeri-negeri Bersekutu ini menjadi Persekutuan Malaya pada 1948 dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada 1963. Pada 1974, Selangor melepaskan Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan ibu negara. Hal ini terjadi semula terhadap Putrajaya pada 1995. United Estate Project seterusnya telah dijalankan untuk memajukan ladang kelapa sawit yang sebelumnya ladang getah dan kawasan perlombongan bijih timah kepada USJ dan Sungei Way-Subang (SS) yang terletak di daerah Petaling dan Shah Alam. Projek ini merupakan usaha antara syarikat Sime Darby dengan kerajaan negeri Selangor kerana ladang-ladang dan lombong merosot.
Kini, Selangor seluas 7,956 km persegi dan mempunyai penduduk yang paling ramai penduduk di Malaysia. Pada 2005, Menteri Besar Selangor mengumumkan status negeri maju terhadap Negeri Selangor Darul Ehsan.