Si Tjonat | |
---|---|
Pengarah | Nelson Wong |
Berdasarkan | Tjerita Si Tjonat oleh F.D.J. Pangemanan |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi |
|
Syarikat penerbitan | Batavia Motion Picture |
Tarikh tayangan |
|
Negara | Hindia Belanda |
Bahasa | Senyap |
Si Tjonat (Jawi: سي تجونت ; EYD: Si Conat) merupakan sebuah filem mengenai perompak tahun 1929 dari Hindia Timur Belanda (sekarang Indonesia) yang diarahkan oleh Nelson Wong dan diterbitkan oleh Wong dan Jo Eng Sek. Diubah suai daripada novel karya F.D.J. Pangemanann, filem senyap ini mengisahkan seorang pemuda peribumi yang bersembunyi di Betawi (sekarang Jakarta) selepas membunuh kawannya dan menjadi seorang perompak.
Secara komersialnya, filem senyap yang lebih ditujukan kepada penonton berbangsa Cina ini mendapat sambutan bercampur dan pendapatan penjualan yang tidak jelas. Meskipun disasarkan sebagai filem bersiri, susulannya tidak pernah dihasilkan dan syarikat penerbitnya, Batavia Motion Picture ditutup tidak lama kemudian. Filem ini dianggap filem yang hilang daripada peredaran. Walau bagaimanapun, beberapa karya dalam genre yang sama seperti ini telah dikeluarkan tidak lama selepas itu, termasuklah filem Si Pitoeng yang menggunakan pengarah dan bintang yang sama.