Simbiogenesis

Dalam teori simbiogenesis, penyatuan arkea dan bakteria aerob mencipta eukariot dengan mitokondrion aerob; penyatuan kedua pula menambah kloroplas, sehingga terbentuknya tumbuhan hijau. Teori asal oleh Lynn Margulis mencadangkan satu lagi proses tambahan penyatuan awal, tetapi kurang disokong dan kini tidak dipercayai secara umum.[1]

Simbiogenesis (teori endosimbiosis, atau teori endosimbiosis bersiri[2]) merupakan satu teori evolusi terkemuka berkenaan asal usul sel eukariot daripada organisma prokariot.[3] Teori ini berpendapat bahawa mitokondria, plastid dengan contoh seperti kloroplas, dan mungkin organel-organel lain dalam sel eukariot adalah turunan daripada prokariot yang dahulunya hidup bebas (lebih berkait rapat dengan bakteria berbanding arkea) yang kemudiannya disatukan ke dalam satu lagi dalam proses endosimbiosis. Mitokondria kelihatan berkaitan secara filogenetik dengan bakteria Rickettsiales, manakala kloroplas dianggap berkaitan dengan sianobakteria.

Pandangan berkenaan kloroplas yang pada asalnya merupakan organisma bebas kemudian bergabung menjalinkan hubungan simbiotik dengan organisma sel tunggal lain bermula pada abad ke-19, apabila ia disokong oleh penyelidik seperti Andreas Schimper. Teori endosimbiosis ini telah dinyatakan pada tahun 1905 dan tahun 1910 oleh ahli botani Rusia Konstantin Mereschkowski, dan dikembang dan dibuktikan dengan bukti mikrobiologi oleh Lynn Margulis pada tahun 1967.

Antara pelbagai baris bukti yang menyokong simbiogenesis adalah: (1) mitokondria dan plastid mengandungi kromosom tersendiri dan membiak dengan membelah dua, selari tetapi berpisah daripada pembiakan seks seluruh sel; (2) kromosom sesetengah mitokondria dan plastid adalah molekul DNA bulatan tunggal yang serupa dengan kromosom bulatan bakteria; (3) protein pengangkut yang dipanggil porin terdapat pada membran luar mitokondria dan kloroplas, dan juga membran sel bakteria; serta (4) kardiolipin hanya terdapat dalam membran dalaman mitokondria dan membran sel bakteria.

  1. ^ Latorre, A.; Durban, A.; Moya, A.; Pereto, J. (2011). "The role of symbiosis in eukaryotic evolution". Dalam Gargaud, M.; López-Garcìa, P.; Martin, H. (penyunting). Origins and Evolution of Life: An astrobiological perspective. Cambridge: Cambridge University Press. m/s. 326–339. ISBN 978-0-521-76131-4. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 March 2019. Dicapai pada 27 August 2017.
  2. ^ "Serial endosymbiotic theory (SET)". flax.nzdl.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 August 2021. Dicapai pada 8 March 2021.
  3. ^ Cornish-Bowden, Athel (7 December 2017). "Lynn Margulis and the origin of the eukaryotes". Journal of Theoretical Biology. The origin of mitosing cells: 50th anniversary of a classic paper by Lynn Sagan (Margulis). 434: 1. Bibcode:2017JThBi.434....1C. doi:10.1016/j.jtbi.2017.09.027. PMID 28992902.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne