Siti Nurhaliza سيتي نورهاليزا بنت تارودين | |
---|---|
![]() | |
Kelahiran | Siti Nurhaliza Binti Tarudin 11 Januari 1979 |
Nama lain |
|
Pendidikan | Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) |
Pekerjaan | |
Tahun aktif | 1995 – Kini |
Pasangan | Khalid Bin Mohamad Jiwa (k. 2006) |
Anak-anak |
|
Ibu | Siti Salmah Bachik |
Bapa | Tarudin Ismail |
Saudara | Rafidah Ibrahim (sepupu) |
Keluarga |
|
Anugerah | Lihat senarai penuh |
Kerjaya muzik | |
Genre | |
Instrumen | Vokal |
Syarikat rakaman | Suria Records (1995-2005) Siti Nurhaliza Productions (2006-kini) What's Up Entertainment (2011) Universal Music Malaysia (2011-kini) GP Records (Indonesia) |
Pengkarya berkait | |
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siti Nurhaliza Productions | |
Menyandang jawatan 12 Januari 1998 | |
Presiden SimplySiti | |
Menyandang jawatan 30 Mac 2010 | |
Laman web rasmi | www |
Tandatangan | |
![]() |
Biduanita Negara Dato' Sri Hajah Siti Nurhaliza Tarudin SSAP, DIMP, JSM, SAP, PMP, AAP[1] (Jawi: سيتي نورهاليزا بنت تارودين ; IPA: [ˈsiti nʊrhaˈliza ˈbinti taˈrudɪn]; lahir 11 Januari 1979)[Nota 1] merupakan seorang penyanyi, pelakon, penulis lagu, penerbit rakaman, pengacara televisyen, dan ahli perniagaan Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya di industri muzik Malaysia seawal usia 16 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995[2][3][4] Selepas program itu berakhir, beliau telah menerima empat tawaran kontrak rakaman daripada syarikat rakaman antarabangsa sebelum dilamar oleh Suria Records.[3] Single sulungnya yang bertajuk "Jerat Percintaan" telah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-11 dan dua anugerah lain bagi kategori Persembahan Terbaik dan Lagu Balada Terbaik.[5] Album pertama beliau telah terjual sebanyak 800,000 unit daripada awal penglibatan beliau di industri muzik Malaysia sehingga tahun 2005 di Malaysia sahaja. Keunggulan beliau di persada seni telah menempa nama di industri muzik Malaysia sehingga telah mendapat pelbagai gelaran panggilan seperti Ratu Pop Malaysia, Diva Asia dan Ratu Pop Asia oleh peminat muzik di dalam negara mahupun di luar negara.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah memenangi pelbagai anugerah daripada dalam dan juga luar negara. Beliau telah digelarkan sebagai Voice of Asia selepas memenangi Grand Prix Champion yang dianjurkan oleh Voice of Asia di Almaty, Kazakhstan pada tahun 2002.[6][7] Beberapa tahun sebelumnya, beliau juga telah memenangi beberapa pertandingan nyanyian antarabangsa lain seperti Anugerah Emas Pertandingan Penyanyi Baru Asia di Shanghai Asia Music Festival yang diadakan di Shanghai, China pada tahun 1999[8] Pada tahun yang sama, beliau juga telah memenangi Anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita serta menjadi salah seorang daripada pemenang bagi kategori Top 40 Kategori Lagu International di South Pacific International Song and Singing Competition yang diadakan di Gold Coast, Queensland, Australia.[8][9]
Sehingga kini beliau telah memenangi lebih 300 anugerah dan penghargaan daripada dalam dan luar negara. Beliau telah muncul sebagai antara satu-satunya penyanyi dan anak seni yang paling berjaya dalam sejarah industri hiburan Malaysia.[10][11] Antara anugerah yang dimenanginya termasuklah 43 Anugerah Industri Muzik, 25 Anugerah Bintang Popular, 28 Anugerah Planet Muzik, 20 Anugerah Juara Lagu, 4 Anugerah MTV Asia, 3 Anugerah Muzik Dunia, 2 Anugerah Musik Indonesia, 2 Anugerah Muzik Singapura dan pemegang bagi 2 rekod di dalam Malaysia Book of Records. Sepanjang penglibatan beliau di industri muzik Malaysia, beliau telah merakamkan dan menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa, antaranya termasuklah bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia, Jawa, Mandarin, Hindi, Arab dan Jepun.[12]
Berbekalkan 16 album studio, 2 album duet, 8 album konsert, 11 album kompilasi dan 250 lagu berserta single, sehingga kini jualan album beliau dianggarkan telah terjual sebanyak 5 juta unit. Beliau merupakan antara artis yang paling berpengaruh di Kepulauan Melayu, Rantau Nusantara dan Asia Tenggara apabila telah memenangi sebanyak 10 kali berturut-turut anugerah bagi kategori Artis Serantau Paling Popular sehingga mengalahkan artis-artis lain dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia di Anugerah Planet Muzik bermula pada tahun 2001 sehingga 2011.[13] Kini, beliau telah tersenarai sebagai artis yang paling berpengaruh, paling banyak memenangi anugerah dan menerbitkan single.[14] Beliau merupakan satu - satunya artis dari Malaysia yang paling laris jualan album. Pada tahun 2000, jualan album beliau telah menyumbang kepada 10 peratus jumlah jualan album di Malaysia.[15] Sehingga kini, beliau telah menjual lebih daripada 4.9 juta dalam jualan album.
Pada tahun 1998 iaitu selepas 2 tahun beliau menjejak kaki di industri muzik Malaysia, beliau telah dipilih di antara kalangan artis Malaysia untuk mengadakan persembahan penutup bagi Sukan Komanwel 1998 di hadapan Ratu Elizabeth II dan konsort beliau Putera Philip, Duke Edinburgh serta dikalangan ahli delegasi dan pegawai daripada 70 negara yang terdiri daripada Negara-negara Komanwel. Pada tahun 2005, beliau telah menjadi artis pertama dari Asia Tenggara dan ketiga dari Asia yang mengadakan konsert secara solo di Royal Albert Hall, London yang diiringi oleh kumpulan Orkestra Simfoni London.[16] Beliau juga telah tersenarai di kedudukan kedua sebagai Asia's Best Musical Artiste oleh MTV Asia[17] dan Biggest Asian Artiste oleh Channel V[17] pada tahun yang sama. Pada tahun 2008 pula, beliau telah digelarkan sebagai Asia's Idol oleh Asia News Network (ANN).[18] Beliau juga telah menerima gelaran Asia Music Legend daripada Top 10 of Asia pada tahun 2014. 10 tahun sebelum iaitu pada 2004, Golden Melody Awards telah menggelarkan beliau sebagai Asia Number 1 Singer. Kejayaan beliau di rantau Asia melayakkan beliau menerima gelaran Suara Asia [19] dan Celine Dion Asia[20] oleh peminat dan pakar muzik daripada dalam dan luar negara.
Tidak dilupakan apabila beliau juga telah tersenarai sebagai salah seorang muslim yang berpengaruh di dunia oleh Pusat Pengajian Strategi Islam Diraja bagi tahun 2016, 2017, 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.[21] Sebagai ahli perniagaan, beliau memiliki aset-aset perniagaan termasuk Siti Nurhaliza Productions (media massa), SimplySiti (kosmetik), Creacion (fesyen), Beausiti (minuman kesihatan) dan Afiya (tudung).
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Grand Prix 2002 left for Malaysia.
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Siti - Unplugged
Ralat petik: Tag <ref>
wujud untuk kumpulan bernama "Nota", tetapi tiada tag <references group="Nota"/>
yang berpadanan disertakan