Skandal foto Edison Chen ialah skandal media pada awal tahun 2008 yang membabitkan pelakon lelaki Hong Kong dan pelbagai pelakon wanita termasuklah Gillian Chung Yan-tung, Bobo Chan Man-woon, dan Cecilia Cheung Pak-zhi.[1]
Pada penghujung bulan Januari 2008, "gambar-gambar yang agak lucah" yang memaparkan Chen dan aktres-aktres tersebut beredar di internet. Skandal itu mula menghiasi muka hadapan akhbar-akhbar tempatan selama beberapa minggu,[2] dan telah menjadi berita antarabangsa.
Di sebalik penerimaan bantuan daripada Interpol, polis Hong Kong tidak mampu membendung penyebaran gambar-gambar itu.[3] Pada 12 Februari 2008, 10 orang telah ditahan akibat terlibat dalam penyebaran gambar-gambar itu.[4] Tindakan keras polis itu sebaliknya meningkatkan persoalan terhadap pelanggaran hak-hak privasi dan kebebasan bersuara para pengguna internet.[5] Cara para pelakon yang terlibat, pihak pengurusan mereka dan polis mengendalikan situasi itu hanya menyebabkan mereka yang ditahan bertukar kepada hero dan syahid bagi sesetengah warga internet (netizen).[6]
Chen mengakui bahawa gambar-gambar itu ditangkapnya dan dimilikinya, dan menyatakan bahawa gambar-gambar peribadi itu telah dicuri dan disiarkan secara haram tanpa keizinannya. Dia memohon maaf secara terbuka terutamanya pada wanita-wanita yang terbabit, dan juga mengumumkan bahawa dia akan "berundur secara mutlak" daripada industri hiburan Hong Kong.[7]