Allahyarham Penghibur Lagenda Dato' Sudirman Arshad | |
---|---|
سوديرمن حاج ارشد | |
![]() | |
Kelahiran | Sudirman bin Arshad 25 Mei 1954 |
Meninggal dunia | 22 Februari 1992 Kuala Lumpur, Malaysia | (umur 37)
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang |
Nama lain | Sudir |
Pendidikan | Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang |
Pusat pendidikan | Universiti Malaya (UM) |
Pekerjaan | Penyanyi, pelakon, penulis, pengarah, ahli perniagaan |
Tahun aktif | 1976–1992 |
Kampung asal | Kampung Chengal, Temerloh, Pahang |
Pangkat | Penghibur Nombor 1 Asia |
Pasangan | Kamariah "Kay" Jamaluddin (k. 1981; c. 1984) |
Ibu bapa |
|
Saudara |
|
Keluarga |
|
Profesion | Peguam |
Kerjaya muzik | |
Genre | |
Instrumen | Vokal |
Syarikat rakaman | Warnada Records EMI Music Malaysia |
Pengkarya berkait | |
Allahyarham Penghibur Lagenda Dato' Sudirman bin Haji Arshad (Jawi: سوديرمن حاج ارشد), juga dikenali sebagai Sudirman (25 Mei 1954 – 22 Februari 1992) merupakan seorang penyanyi lelaki Malaysia.[1][2][3][4] Beliau telah memulakan kerjayanya dalam bidang muzik apabila dinobatkan sebagai juara Bintang RTM pada Ogos 1976. Selain itu, beliau juga ialah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" (pada 19 Mac 1989) dari Pahang sebelum kehadiran Siti Nurhaliza. Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia".
Dilahirkan di Temerloh, Pahang, Sudirman mula menunjukkan minat terhadap bidang muzik pada usia muda. Dari kecil, beliau ialah seorang penghibur semulajadi yang sering menyanyi untuk ahli keluarga dan jiran-jirannya. Selain sebagai penyanyi dan penghibur, beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), kartunis, usahawan dan pelakon.[5][6][7] Sewaktu zaman kegemilangannya, Sudirman dikenali sebagai penghibur yang terkenal di Malaysia dan disanjungi seluruh Asia.[8] Kemasyhurannya mengilhamkan sesetengah pihak menggelarkannya penyanyi yang ligat.[9] Beliau turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan dengan melakonkan watak utama sebagai Tookoo dalam filem KAMI (1982), yang merupakan satu-satunya karya lakonannya. Dikenali dengan memiliki tenor yang jelas dengan keluasan liputan yang mengejutkan dan kawalan dinamik terutamanya pada tahap tinggi yang melampau, suara Sudirman serta-merta dapat dikenali setiap kali salah satu lagunya dimainkan di radio atau televisyen tempatan.[10] Beliau juga terkenal sebagai penyanyi yang menerapkan nilai-nilai positif dan semangat patriotik melalui lagu-lagunya.
Sepanjang 16 tahun kerjayanya dalam industri seni suara tanah air, Sudirman telah merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hitsnya serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa. Sudirman meninggal dunia pada 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru pada usia 37 tahun.[11] Pada tahun 2009, 17 tahun selepas pemergiannya, beliau telah dikurniakan gelaran Dato' oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan pengiktirafan diwakili oleh kakaknya, Datin Rodziah Haji Arshad.[12][13]