Tarikh | 21 Mei 2011 |
---|---|
Masa | 2:20 petang UTC+8 MST |
Lokasi | Batu 14, Jalan Cheras, Hulu Langat, Selangor |
Penyebab | Tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat berterusan |
Kematian | 16 |
Kecederaan | 9 |
Tragedi tanah runtuh Hulu Langat 2011 terjadi pada 21 Mei 2011 jam 2.20 petang (waktu tempatan) di sebuah premis di Jalan Felcra Semungkis, Kampung Felcra Semungkis, Hulu Langat, Selangor, Malaysia.[1] Lokasi ini kira-kira 25 kilometer dari Kuala Lumpur dan 10 kilometer dari bandar Kajang. Penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terperangkap apabila berlaku tanah runtuh di belakang asrama mereka, selepas hujan lebat, menyebabkan 25 orang penghuninya tertimbus, kebanyakannya anak-anak yatim di bawah umur 18 tahun.
Setelah operasi penyelamatan selesai, didapati seramai 16 orang maut dan sembilan lagi cedera dalam kejadian ini.[2] Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Kajang.