Yunani pada zaman penjajahan Rom (Yunani: Έλλάς , Latin: Graecia ) menerangkan penaklukan Yunani purba oleh Rom (lebih kurang kawasan yang sama dengan Yunani moden) serta orang Yunani dan kawasan-kawasan yang mereka diami dan kuasai dalam sejarah.[1][2][3] Ia merangkumi tempoh semasa Yunani dikuasai Republik Rom buat kali pertama dan kemudiannya oleh Empayar Rom.[4]
Dalam sejarah Yunani, era Rom bermula dengan kekalahan Corinth dalam Pertempuran Corinth pada tahun 146 SM. Walau bagaimanapun, sebelum Perang Akhaia, Republik Rom telah mula menguasai tanah besar Yunani dengan menewaskan Kerajaan Makedon dalam beberapa siri konflik yang dikenali sebagai Peperangan Makedonia. Perang Makedonia Keempat berakhir dengan Pertempuran Pydna pada 148 SM dengan kekalahan Andriscus yang menuntut takhta Macedonia.
Pendudukan Rom di dunia Yunani yang paling muktamad berlaku selepas Pertempuran Actium (31 SM), yang mana Augustus mengalahkan Cleopatra VII, ratu Ptolemaik Yunani Mesir, dan jeneral Rom Mark Antony, dan seterusnya menakluki Alexandria (30 SM), kota besar terakhir Mesir Helenistik.[5] Era Rom dalam sejarah Yunani diteruskan dengan Maharaja Constantine Agung mengangkat Byzantium sebagai Nova Roma atau Rom Baharu, ibu kota Empayar Rom; Pada tahun 330 Masihi, bandar itu dinamakan semula sebagai Konstantinopel. Selepas itu, Empayar Byzantium menjadi Empayar Rom Timur, merangkumi kedua-dua budaya Yunani dan Rom.