Zaibatsu (財閥 , 'plutokrat' atau 'konco harta') ialah istilah bahasa Jepun yang bermaksud konglomerat perniagaan industri dan kewangan di Empayar Jepun, yang menguasai kebanyakan ekonomi Jepun dengan pengaruh dan kebesarannya sejak zaman Meiji hingga akhir Perang Dunia Kedua.
Walaupun zaibatsu wujud sejak abad ke-19, namun istilahnya tidak kerap digunakan sehingga selepas Perang Dunia Pertama. "Zaibatsu" ditakrifkan sebagai monopoli menegak kawalan keluarga besar yang terdiri daripada sebuah syarikat pemegang di paras tertinggi yang memiliki penuh sebuah anak syarikat perbankan sebagai penyedia kewangan, dan beberapa anak syarikat perindustrian yang mendominasi sektor-sektor tertentu dalam pasaran, sama ada secara bersendirian atau melalui beberapa lagi syarikat kecil.